Tuesday 31 May 2011

“Saiful Islam(Anak Imam Hassan Al-Banna) : Dia adalah seorang ayah,pendidik,suami dan juga seorang insan”


Assalamualaikum.Semoga segala yang dilakukan pada hari ini diniatkan semata-mata kerana Allah..Hari ini saya ingin berkongsi dengan kalian mengenai sudut-sudut keperibadian kehidupan Imam As-syahid Hassan Al-Banna sebagaimana yang diceritakan oleh anaknya (Saiful Islam).Sesungguhnya perkara yang diketahui oleh orang ramai mengenai Imam Hassan Al-Banna adalah sangat sedikit berbanding hakikat sebenarnya.Batinnya adalah seribu kali lebih baik berbanding zahirnya.(subhanallah!!).Beliau mempunyai satu keperibadian yang sama di dalam dan di luar rumah yang mana dia adalah contoh ikutan bagi setiap individu dalam keluarganya begitu juga bagi semua saudaranya dalam jemaah ikhwanul muslimin.Beliau adalah Hasan Ahmad Abdul Rahman Al-Banna,dilahirkan di Mahmudiyyah,satu penempatan di negeri Buhairah di Delta Nil.

SEORANG LELAKI YANG BERIMAN

Daripada kata-kata Imam Hasan Al-Banna : (Apabila terdapat seorang lelaki yang beriman maka terdapat  bersamanya faktor-faktor kejayaan).
Berkata anaknya(Saiful Islam) : Kata-kata ini sangat bertepatan dengan diri beliau sendiri,kerana kehidupan beliau mempunyai keberkatan yang sangat besar.Allah memudahkan baginya melakukan kerja yang banyak dalam masa yang singkat hasil dari keikhlasannya.Begitu pentingnya kita mencapai keikhlasan dan keberkatan dalam melaksanakan sesuatu perkara.

KEPERIHATINAN BELIAU TERHADAP ANAKNYA

Beliau menyediakan satu fail khas bagi setiap anaknya yang dilahirkan,beliau juga menulis sendiri tarikh lahir anaknya begitu juga tarikh-tarikh lain yang berkenaan dengan anaknya.Semua maklumat perubatan anaknya disimpan rapi untuk  memudahkan beliau mengemukakan laporan perubatan tersebut kepada doktor.Setiap maklumat tersebut disertakan dengan keterangan-keterangan lain seperti ubat apa yang telah diambil oleh si anak dan berapa lama dia memakannya serta berapa lama si anak mengalami sakit tersebut dan adakah dia memakan semua ubat tersebut.
Imam Hasan Al-Banna juga menyimpan semua sijil-sijil pelajaran anak-anaknya beserta catitan-catitan tertentu seperti : Saif perlu menekankan subjek ini dan dia lemah dalam subjek itu..Wafa’ pula memerlukan pertolongan dalam subjek ini..Begitulah secara umumnya apa yang beliau lakukan kepada setiap anak-anaknya.

HASAN AL-BANNA SEBAGAI  KETUA KELUARGA

Beliau sangat mengambil berat mengenai urusan rumah tangganya,dia menulis sendiri semua keperluan rumah bagi setiap bulan,dan dia menyerahkan senarai keperluan rumah kepada seorang kawan dari Ikhwan Muslimin yang bernama Sayyid Shihabuddin yang mempunyai kedai runcit yang masyhur untuk memenuhi keperluan rumah bagi setiap bulan.

Beliau juga seorang yang lemah lembut,beliau sangat menjaga perasaan anak-anaknya.Hukuman yang paling berat pernah dikenakan kepada anak-anaknya hanyalah cubit telinga.Namun,setelah beberapa jam kemudian,beliau menelefon dan menenangkan anaknya serta berdamai.

Beliau juga sangat pemurah terhadap anak-anaknya.Beliau memberi sebanyak 3 Qurusy kepada setiap anak-anaknya dan jumlah tersebut sangatlah besar pada ketika itu kerana kebiasaannya pelajar-pelajar lain hanya belanja suku Qurusy atau setengah Qurusy sahaja.



Begitu hebatnya keperibadian As-syahid Imam Hasan Al-Banna..sikapnya wajar menjadi qudwah hasanah kepada kita semua..Semasa membaca buku ‘Memperingati 100 Tahun Hasan Al-Banna’,saya tertarik dengan kisah yang diceritakan oleh Umar at-Tilmisani,pengikut al-Banna yang akhirnya menjadi Mursyidul Am ketiga Ikhwanul Muslimin.

Cerita beliau, “Pada waktu itu kami sedang melakukan pertemuan di luar kota.Kerja-kerja tersebut selesai kira-kira pukul 12 malam.Kami semua sangat letih kerana semangat dan kesungguhan kami dalam kerja.Kebetulan kami mendapat bilik yang sama(al-Banna dan Umar at-Tilmissani).Saya sangat penat,dan ingin terus tidur,agar esok tidak terlambat untuk bangun soalt subuh.Kami berbaring di tempat tidur masing-masing.Beberapa ketika kemudian,beliau memanggilku, “Umar,sudah tidur?”.Aku jawab, “Labbaika,belum Mursyid”.Beliau tidak berkata apa-apa lagi.Tidak beberapa lama kemudian,beliau bertanya lagi hal yang sama, “Umar,kamu sudah tidur?”.Aku jawab, “Labbaika,belum Mursyid”.

Aku dalam hati tertanya-tanya mengapa beliau melakukan hal ini.Lama beliau terdiam,tiba-tiba beliau memanggil lagi.Kerana aku sudah sangat penat,akhirnya aku tidak menjawab,biar disangka beliau aku sudah tidur lelap.Mengira aku sudah tidur,tiba-tibabeliau bangun perlahan-lahan,berjalan sambil memegang kasutnya,menuju bilik mandi.Di dalam bilik mandi ku dengar beliau dengan sangat berhati-hati berwuduk,agar percikan airnya jangan sampai membangunkanku.Kemudian ku lihat beliau mengambil tempat di sudut bilik menghadap kiblat,dan beliau pun solat malam(qiamulail) beberapa rakaat.Subhanallah..Begitulah ajaran beliau yang sangat melekat dihatiku..

 Dakwah beliau bukan hanya sekadar di mulut sahaja,tetapi dibuktikan dengan amalannya..Begitulah ciri-ciri seorang pejuang islam.Siangnya bagaikan singa di rimba dan malamnya menghambakan diri kepada sang Pencipta..Moga kita sama-sama dapat meneladani sifat mulia as-Syahid ini..Biar sedikit,asalkan  istiqamah.akhir sekali,peringatan buat diri dan sahabat-sahabat,amalkanlah mathurat setiap kali  selepas solat subuh dan asar.InsyaAllah akan mendapat ketenangan hati dan jiwa.



Wallahualam.(Cinta ALLAH Cinta Hakiki)  

No comments:

Post a Comment